Tikam Kekasih Kerana Cemburu

•August 4, 2009 • Leave a Comment
MANGSA sedang dirawat di HKL selepas ditikam oleh teman lelakinya ketika bertengkar di sebuah bilik sewa di Jalan Sentul kelmarin.

KUALA LUMPUR – Akibat hilang pertimbangan, seorang lelaki menikam perut kekasihnya dan membiarkan wanita itu menahan kesakitan selama setengah jam sebelum menghantarnya ke hospital. Sebelum kejadian pada pukul 1 pagi di Jalan Sentul di sini kelmarin, pasangan yang baru dua bulan bercinta bertengkar di bilik sewa lelaki itu gara-gara cemburu.

Perbincangan yang pada mulanya berjalan baik bertukar tegang selepas lelaki berusia 26 tahun dan pekerja sebuah restoran tidak berpuas hati dengan kekasihnya yang didakwa berubah hati. Dalam pertengkaran itu, jurucakap polis berkata, lelaki itu bertindak menampar, menendang dan menumbuk muka kekasihnya tanpa belas kasihan walaupun wanita itu merayu supaya dia tidak diperlakukan sedemikian.

“Lelaki itu yang semakin hilang pertimbangan tiba-tiba mengeluarkan pisau lalu menikam perut kekasihnya,” kata beliau di sini semalam.

Lara Isteri Kedua

•July 9, 2009 • Leave a Comment

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee,shantynur@hmetro.com.my

Keguguran Lepas Diterajang Suami

KLANG: “Saya ingatkan dia boleh membimbing hidup saya, rupa-rupanya dia lebih jahil daripada orang jahil!” demikian keluhan seorang wanita yang menjadi mangsa dera bekas suami yang pernah berkongsi hidup selama setahun pada 2006.

Ibu tunggal berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Kak Ros, 50, memberitahu dia mula didera sejurus mendapat tahu bekas suaminya bersekedudukan dengan isteri orang di kampungnya di Langkawi, Kedah.

“Setiap kali bertanyakan penjelasan, dia seolah-olah dirasuk syaitan. Saya akan ditelanjang kemudian ditendang dan ditumbuk sehingga lebam dan berdarah.

“Apa yang lebih menyedihkan, saya keguguran ketika mengandung dua bulan akibat diterajang di perut.

“Kejadian ngeri ini berlaku berulang-ulang, namun saya takut melaporkan kepada pihak berkuasa kerana bimbang dia akan bertindak lebih ganas,” katanya yang mengetahui bekas suaminya yang dikenali sebagai Haji Shuib, 57, rupa-rupanya lelaki gila seks.

Kak Ros berkata, dia bersyukur diceraikan suaminya dua tahun lalu selepas berkahwin di Songkla, Thailand dan bebas daripada cengkaman lelaki kejam itu.

Menurutnya, mereka hanya tinggal bersama selama sebulan sahaja selepas berkahwin kerana suaminya tidak tinggal bersama dipercayai tinggal bersama isteri tua,

“Walaupun sudah bercerai bekas suami masih mengganggu kerana ingin menuntut hartanya yang diperolehi daripada suami pertama.

“Penderitaan saya tidak berakhir selepas berpisah, malah berlarutan apabila bekas suami mula menuntut beberapa harta termasuk rumah, kereta dan tanah milik saya yang dibeli ketika bersama bekas suami pertama dulu.

“Dia (bekas suami) kemudian datang menyerang di restoran saya dan membelasah di depan pelanggan. Keadaan ketika itu tidak ubah seperti adegan tayangan tinju, namun tiada sesiapa berani menolong saya,” katanya.

Kejadian itu berlaku selepas setahun bercerai ketika dia menjalankan perniagaan kedai makan di Langkawi dan dia dipaksa menandatangani surat pelepasan semua harta terbabit kecuali sebidang tanah dusun.

Kak Ros mendakwa, susulan kejadian itu, dia membuat laporan di Balai Polis Kuah, Langkawi, namun tiada sebarang tindakan diambil terhadap bekas suaminya.

“Ketika menjadi isterinya, saya tidak dibenarkan keluar rumah walaupun hanya untuk bercakap dengan jiran. Saya menuruti saja kata-katanya kerana khuatir dituduh derhaka.

“Namun, apabila isteri pertama menuduh saya menyembunyikan suaminya itu, saya mula menyiasat gerak-geri suami bagi mendapatkan kepastian hingga akhirnya menyaksikan sendiri suami memasuki bilik hotel bersama perempuan lain,” katanya. yang menyangka suaminya pulang ke rumah isteri pertama.

“Dia seorang kontraktor dan berduit, tidak mustahil ramai yang terpedaya dan menjadi mangsanya untuk melepaskan nafsu seks yang melampau itu,” katanya yang tertipu dengan perwatakan bekas suaminya..

“Kerana sering diugut, saya meninggalkan empat anak berusia 13 hingga 29 tahun bersama ibu yang sudah tua di kampung dan menyewa sebuah bilik kecil di sini.

“Saya rindukan anak bongsu yang masih belajar, namun takut pulang ke Langkawi kerana dia mengugut akan menghantar pembunuh upahan selagi tanah itu tidak diberikan kepadanya,” katanya yang kini menetap di sebuah pekan kecil di Selangor.

Isteri Lari Rumah

•July 8, 2009 • Leave a Comment

APAKAH hukum seorang isteri melarikan diri dari rumah tanpa pengetahuan suami selepas dipukul sehingga lebam dan benarkah isteri berdosa setiap detik selama tiada di rumah?

Adakah berdosa jika saya meminta cerai memandangkan sudah beberapa kali suami menghancurkan hati saya sedangkan saya banyak berkorban untuknya termasuk wang ringgit?

KECEWA,

Kuala Lumpur

ISTERI berdosa meninggalkan rumah suami tanpa sebab. Bagaimanapun, isteri tidak berdosa apabila melarikan diri disebabkan dipukul suami melebihi daripada had yang dibenarkan syarak.

Mengikut al-Quran, suami hanya boleh memukul isteri dengan tujuan mendidik, itupun jika gagal dalam cara lain iaitu nasihat dan memulau tempat tidur. (Boleh rujuk surah an-Nisa’ ayat 34)

Sekiranya suami mencederakan, isteri boleh merujuk kepada Mahkamah Syariah untuk memohon cerai taklik.

Suami sudah melafazkan lafaz taklik selepas akad pernikahan iaitu tidak meninggalkan isteri, tidak memberi nafkah selama empat bulan atau lebih, menyakiti tubuh badan isteri, tidak mempedulikannya selama empat bulan, maka talak taklik akan gugur selepas sabit kesalahannya di mahkamah.

Memohon perceraian dengan sebab dibenarkan syarak tidak berdosa.

Gadis Takut Ugutan

•July 8, 2009 • Leave a Comment

Ruangan Dang Setia, Harian Metro

SAYA berumur 23 tahun dan menuntut dalam tahun akhir di institusi pengajian tinggi awam. Masalah saya membabitkan teman lelaki saya, A.

Baru-baru ini saya dapat tahu A berkahwin dan dia menunjukkan surat nikahnya di negara jiran kepada saya. Seminggu kemudian dia berjumpa saya dan memberitahu hendak ke hospital kerana isterinya ada di wad bersalin.

Saya temankan A ke hospital dan alangkah terkejut saya kerana isterinya adalah kawan lama ketika belajar dulu. Namun yang hairannya A langsung tak tunjukkan kasih sayang kepada isterinya. Biarlah dia saya namakan B.

Yang sedihnya, B terlantar seorang diri di hospital. Hanya saya dan A tahu dia masuk hospital. Selama empat hari dia di hospital, saya yang teman dan pilih baju serta uruskan keperluan untuk anaknya.

Saya yang jaga anaknya dan timbul rasa sayang kepadanya. A langsung tak pandang atau sentuh anak itu. A beritahu saya, dia tak percaya anak itu anaknya.

Segala urusan di hospital saya yang buat, termasuk berjumpa doktor dan beritahu akan jaga anak B. A langsung tidak ambil tahu. Saya buat begitu sebab fikirkan kawan dan anaknya.

Di hospital, ramai pandang serong bila melihat kemesraan saya dan A. Kepada B, A bohong dengan mengatakan saya sepupunya.

Untuk pengetahuan Dang Setia, saya banyak kali terlanjur dengan A. Selepas dia buat macam-macam pada saya dan saya tidak boleh bertahan, baru-baru ini saya minta putuskan hubungan.

A tidak dapat menerimanya dan dia ugut akan hebahkan cerita saya banyak kali tidur dengannya kepada keluarga saya. Tolonglah Dang Setia, saya takut dia akan berbuat begitu sebab saya kenal perangainya.

Yang membuatkan saya tidak tahan dengan A adalah sikap panas barannya. A tidak boleh tengok kawan lelaki tegur atau telefon saya.

Baru-baru ini ada kawan lelaki tegur saya dan A ada bersama saya. Selepas itu A terus tampar saya. Dia tidak pernah hirau walaupun banyak mata memandang. Banyak kali saya kena penampar dengannya.

Masalahnya, A orang pertama sentuh saya, tapi sampai bila saya harus bertahan dengan sikap panas barannya. A beritahu saya, dia akan berubah dan minta saya beri dia peluang.

Bolehkah saya percaya cakapnya? Saya ingin lari daripadanya, tapi risau dia akan ceritakan kepada keluarga saya yang kami dah banyak kali terlanjur!

SH

Jawapan:

Murninya hati saudari dan buruk sekali sikap A. Itulah ringkasan yang boleh Dang Setia katakan dan malang kerana nampaknya kenaifan serta keikhlasan saudari mudah diambil kesempatan oleh A.

Untuk menyelesaikan kemelut saudari, perlu Dang Setia bawa semula saudari kepada perkara yang Dang Setia sifatkan sebagai akar kepada segala permasalahan.

Perkara yang dimaksudkan ialah keterlanjuran saudari dengan A dan rasa takut jika perkara mengaibkan itu bakal disampaikan kepada ibu bapa.

Disebabkan dua perkara ini saudari masih meneruskan hubungan dengan A biarpun sedar A bukan lelaki yang baik untuk dijadikan suami.

Betapa tidak, sudahlah dia ringan tangan, termasuk suka menampar saudari di khalayak ramai, dia juga curang apabila berkahwin dengan wanita lain ketika hangat bercinta dengan saudari.

Lebih teruk lagi, saudari melihat betapa dia langsung tidak menjalankan tanggung jawab terhadap isterinya yang baru bersalin sehingga saudari terpaksa mengambil alih peranannya.

Lelaki seperti inikah yang layak dijadikan suami? Pastinya tidak. Jadi, persoalannya sekarang, adakah berbaloi saudari menggadaikan masa depan dengan berkahwin dengannya semata-mata kerana takut ugutannya?

Bagi Dang Setia, lebih baik susah sekejap tapi senang lama daripada senang sekejap, tapi susah berpanjangan.

Maksud Dang Setia, ada baiknya saudari berterus terang mengenai apa yang berlaku kepada ibu bapa saudari.

Hanya dengan cara itu saudari dapat melepaskan diri daripada A, lelaki yang jelas tidak bertanggungjawab dan hanya bijak mengambil kesempatan daripada kelemahan wanita.

Ini kerana adakah selama-lamanya saudari perlu tunduk kepada ugutan serta perlakuan tidak bermoral A? Adakah semata-mata kerana mahu menutup aib yang lalu, saudari sanggup mencari bala dengan bersuamikan A?

Dang Setia akui, memang sukar dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku apabila berterus terang dengan ibu bapa mengenai keterlanjuran saudari dengan A, namun bagi Dang Setia apa juga kesannya, ia tetap lebih baik berbanding jika saudari berkahwin dengan A.

Lelaki Punca Utama

•July 7, 2009 • Leave a Comment

KUALA LUMPUR: “Boleh dikatakan sembilan daripada 10 punca perceraian datang daripada lelaki,” kata Pakar Motivasi dan Kaunseling, Klinik Hushim Motivation and Counselling Consultantsy, Hushim Salleh. Menurutnya, rumusan itu berdasarkan pengalamannya menerima pelbagai masalah rumah tangga daripada pasangan suami isteri setiap hari.

“Apabila saya katakan perkara ini dalam ceramah atau bengkel, tiada lelaki berani membangkang kerana ia kenyataan. Saya cakap berdasarkan fakta kerana setiap hari menerima pelbagai aduan masalah rumah tangga,” katanya. Hushim berkata, biasanya wanita berfikir panjang dan berusaha memelihara rumah tangga kerana mereka takut memegang gelaran ibu tunggal.

Katanya, jarang wanita meminta cerai jika suaminya baik. Biarpun suami bergaji kecil, isteri menerima keadaan itu seadanya kerana yang penting ialah suami setia dan bertanggungjawab. “Berapa ramai lelaki yang berpendapatan rendah mampu hidup bahagia bersama keluarga. Ini disebabkan kesetiaan dan komitmen yang suami berikan kepada keluarga.

“Lelaki seharusnya menjadi pemimpin dalam rumah tangga, memimpin solat jemaah dan membawa anak dan isteri mendengar ceramah di surau atau masjid. Antara kelemahan ibu bapa ialah tidak tegas. “Jika anak tidak mahu pergi ke sekolah kerana susah bangun pagi, tabiat itu dibiarkan berlarutan hingga dewasa.

Malah, sikap bapa yang malas bangun pagi menjadi ikutan anak,” katanya. Beliau berkata, dalam satu kes dikendalikannya, ada lelaki digelar suami RM3 kerana sering meminta jumlah berkenaan untuk keluar melepak bersama rakan di kedai kopi pada waktu malam. “Ini sungguh memalukan.

Akibat kegagalan suami menjalankan tanggung jawab sebagai ketua keluarga, isteri seperti menanggung biawak hidup dan tidak hairan perceraian berlaku,” katanya. Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kesuma (Bahagian Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zawiah Hassan, berkata salah faham dan berbeza pendapat adalah perkara biasa dalam kehidupan suami isteri, namun perceraian boleh dielak jika pasangan memahami tujuan sebenar perkahwinan.

“Dalam institusi rumah tangga, suami atau isteri mesti bersyukur kerana sudah berkahwin, ada pasangan dan dikurniakan cahaya mata berbanding mereka yang kurang bernasib baik. “Mereka juga mesti ada sifat sabar, penyayang, tolak ansur, pemaaf dan mengambil berat perkara remeh-temeh seperti memberi pujian, penghargaan dan ucapan terima kasih,” katanya.

Selain itu katanya, suami atau isteri perlu menerima pasangan seadanya, bukan selepas berkahwin mengambil keputusan bercerai. “Keadaan ini berlaku apabila isteri misalnya bergaji besar manakala suami sebaliknya, begitu juga dengan tahap pendidikan. Ada kes yang mana isteri doktor, suaminya kerani.

“Isteri tidak mahu menanggung beban keluarga kerana suaminya bergaji kecil, tetapi persoalannya mengapa sebelum kahwin dia boleh terima suami meskipun tahu kerjaya dan latar belakangnya,” katanya. Selain itu, kata Zawiah, tindakan terburu-buru pasangan yang mahu menyelesaikan masalah rumah tangga sebenarnya mengundang padah apabila keputusan diambil memburukkan lagi keadaan.

“Apabila berlaku masalah, mereka mahu ia selesai masa itu juga. Cara ini tidak betul kerana tidak semua masalah boleh diselesaikan dalam tempoh singkat. “Hakikatnya ada masalah perlukan masa untuk diselesaikan, sama ada berfikir, berbincang atau meminta pandangan orang lain,” katanya.

Misalnya, kata Zawiah, ada pasangan bergaduh pada lewat malam atau ketika suami pulang daripada kerja. Dalam suasana atau situasi yang tidak kena sebegitu, berlakunya cabar mencabar, apatah lagi ketika itu masing-masing penat dan kesuntukan masa kerana esoknya hendak bekerja.

“Ada juga kes pasangan dikejutkan daripada tidur hanya kerana suami atau isteri mahu membincangkan masalah dihadapi dengan segera tanpa mahu menunggu hari esok. Sikap ini perlu dielak apabila menghadapi kemelut dalam rumah tangga,” katanya.

Cerai Kilat

•July 7, 2009 • Leave a Comment
Oleh FUAD HADINATA YAACOB dan NORAINON OTHMAN
metahad@hmetro.com.my

 

KUALA LUMPUR: Alasannya remeh, malah boleh dikatakan tidak masuk akal. Namun tindakan suami pulang lewat, lupa membeli makanan dipesan dan membuat minuman tanpa gula dikesan antara faktor menyebabkan pasangan suami isteri hari ini bercerai.

Selain itu, ada yang bercerai disebabkan pasangan lupa tarikh ulang tahun kelahiran atau perkahwinan dan suami sering bangun lambat akibat suka berjaga malam.

‘Penemuan’ itu bukan saja mengejutkan, tetapi turut menjadi faktor meningkatnya kes perceraian di negara ini pada tahun lalu dengan jumlah 22,289 kes berbanding 21,051 kes pada 2007.

Menceritakan fenomena ‘cerai murahan’ itu, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kesuma (Bahagian Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zawiah Hassan, berkata perceraian disebabkan alasan remeh seolah-olah menjadi perkara biasa dalam masyarakat masa kini.

Secara purata, beliau menerima sekurang-kurangnya lima panggilan telefon atau kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) sehari daripada suami atau isteri bermasalah.

Berdasarkan pengalaman, Zawiah menyenaraikan 200 faktor atau punca konflik dalam rumah tangga yang membawa kepada perceraian, sama ada pasangan baru berkahwin atau sudah lama.

Menurutnya, 200 faktor itu dikategorikan dalam 10 kelompok utama seperti tidak bertanggungjawab, kurang didikan agama, campur tangan pihak ketiga, perbezaan budaya, masalah seksual, ekonomi, kerjaya, kesihatan, akhlak atau sosial dan komunikasi.

“Ada kes isteri meminta cerai daripada suami selepas tiga hari berkahwin. Sejak itu, siang malam dia minta cerai tanpa alasan kukuh.

“Puncanya kerana suami tidak beli makanan dipesan, lewat pulang, malah terlupa memasukkan gula dalam minuman pun menjadi alasannya untuk meminta cerai,” katanya.

Menurutnya, hampir setiap hari si suami berdepan tekanan apabila isteri meminta cerai sejak perkahwinan mereka baru berusia tiga hari dan ia berlarutan hampir dua tahun sebelum dia membuat keputusan memenuhi tuntutan itu.

“Namun yang mengejutkan, selepas bercerai, isteri itu meminta rujuk kembali untuk hidup bersama bekas suami,” kata Zawiah.

Selain itu, katanya, ada suami atau isteri menggunakan bahasa kasar tanpa menghiraukan perasaan pasangan masing-masing sehingga menghancurkan rumah tangga.

“Pasangan ini berkahwin 10 tahun tetapi suami suka cakap kasar atau kesat bila bergaduh seperti memanggil isterinya ‘anak babi’ dan ‘mak babi’. Ada juga isteri memanggil suaminya ‘beruk’ dan ‘babi’ bila bergaduh.

“Disebabkan masalah komunikasi yang berlarutan, kemuncaknya mereka bercerai, malah ada kes suami ceraikan isteri talak tiga sekali gus,” katanya.

Menurut Zawiah, ada juga perceraian berlaku apabila isteri menyimpan barangan pemberian bekas kekasih seperti gambar, jam, beg tangan atau pakaian yang sebenarnya menimbulkan rasa cemburu suami, selain campur tangan ibu bapa.

“Satu lagi punca perceraian yang tidak boleh diketepikan ialah berkaitan seksual, sama ada seks ganas, kasar, lemah tenaga batin serta homoseksual.

“Ada isteri mengadu suaminya tidak menyentuhnya sepanjang dua tahun perkahwinan mereka. Apabila diselidik, rupa-rupanya si suami gay dan ada hubungan dengan lelaki lain.

“Di samping itu, ada kes suami suka meliwat isteri, memasukkan botol mineral dalam kemaluan isteri dan dalam senario berbeza ada isteri meminta cerai kerana suami hanya mampu melakukan seks selama dua minit meskipun mereka ada tujuh anak.

“Lebih mengejutkan, ada isteri berzina dengan penjaga lif sebuah hotel di Makkah ketika dia mengerjakan haji kerana tidak mampu menahan gelora nafsu dan minta diceraikan selepas pulang ke Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pakar Motivasi dan Kaunseling, Klinik Hushim Motivation and Counselling Consultantsy, Hushim Salleh, berkata berdasarkan kes dikendalikannya, perceraian disebabkan perkara remeh mudah berlaku disebabkan sikap suami yang tidak menghargai isteri.

“Suami tidak pernah bertanya isteri sudah makan ke belum dan apabila buat salah, tiada ucapan maaf diluahkan, sebaliknya buat tidak tahu sepanjang hari.

“Wanita sifatnya halus dan sensitif, mereka mudah memendam perasaan dan akhirnya kecewa. Apabila suami terlupa tarikh penting seperti hari lahir sedangkan ada orang lain mengambil berat, akan berputik kasih sayang kepada orang itu,” katanya.

Beliau berkata, walaupun paling menonjol dalam kes perceraian ialah kes cinta gelap iaitu suami atau isteri ada hubungan sulit dengan orang ketiga, masalah remeh-temeh perlu diberi perhatian supaya tidak melarat dan menjadi barah dalam rumah tangga.

Menurut Hushim, banyak juga sebab berkait rapat dengan faktor kewangan atau pendapatan iaitu suami isteri tidak berterus terang mengenai pendapatan mereka.

“Ini boleh dikategorikan sebagai tiada persefahaman antara suami dan isteri, misalnya berahsia mengenai perbelanjaan atau hutang kad kredit. Contohnya, suami kedekut dengan isteri tetapi apabila isterinya membeli barang kemas dengan duit sendiri dan suami melihat isteri memakainya, dia marah.

“Sudahlah tidak pernah membelikan hadiah untuk isteri, apabila isteri beli dengan duit sendiri pun dia marah. Ini menyebabkan bibit perpecahan dalam rumah tangga berlaku,” katanya.

Serang Di Mahkamah

•July 1, 2009 • Leave a Comment

Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

TRAUMA...mangsa (kanan) duduk di sebalik tiang<br>bangunan mahkamah bimbang diganggu suami.
TRAUMA…mangsa (kanan) duduk di sebalik tiang
bangunan mahkamah bimbang diganggu suami.

KOTA BHARU: Kompleks Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam gempar apabila seorang lelaki yang naik angin mengheret isterinya kira-kira 10 meter sambil menuruni anak tangga menyebabkan mangsa meraung kesakitan.

Kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu bukan saja disaksikan ibu wanita terbabit yang hadir bersama cucunya yang juga anak mangsa, malah orang ramai yang berurusan di mahkamah.

Tindakan wanita itu meraung kesakitan menyebabkan pekarangan mahkamah sesak dengan orang ramai yang mahu melihat secara dekat punca dia diperlakukan sedemikian.

Bagaimanapun, bimbang masalah keluarganya diketahui umum, lelaki terbabit, seorang mekanik berusia 34 tahun, beredar meninggalkan isterinya lalu menuju tempat letak kenderaan.

Terdahulu, mangsa datang ke mahkamah untuk mendapatkan tarikh sebutan semula permohonan perceraian dengan suaminya di pejabat pendaftar Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.
Bagaimanapun, sebaik menuruni anak tangga bangunan terbabit, suaminya bertindak kasar apabila mengheretnya untuk dibawa pulang ke rumah mereka di Bachok.

Lelaki terbabit turut memberi amaran kepada ibu mentuanya dengan menyatakan: ‘Mak jangan masuk campur’ walaupun mangsa yang kesakitan berlindung di belakang ibunya.

Selepas suaminya beredar, mangsa semakin tertekan, malah menangis teresak-esak menyebabkannya dihampiri orang awam untuk menenangkannya sebelum duduk mencangkung berdekatan tiang bangunan mahkamah selama sepuluh minit.

Kira-kira jam 11 pagi, wanita yang bekerja sebagai pembantu kantin sekolah itu naik semula ke pejabat pendaftar mahkamah sebelum dinasihatkan mendapatkan bantuan Biro Bantuan Guaman.

Wartawan Harian Metro yang berada di tempat kejadian turut menyaksikan trauma dialami ibu empat anak itu apabila dilihat tidak senang duduk kerana bimbang dihampiri suaminya sekali lagi dan bertindak di luar jangkaan.

Ibunya yang berusia 50-an segera mendapatkan bantuan bapa saudara wanita itu di Bachok untuk mengambil mereka.

Mangsa menunggu bapa saudaranya di pekarangan mahkamah kira-kira dua jam sebelum pulang ke rumah ibunya di Tawang, Bachok, kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Sementara itu, mangsa yang enggan dikenali, berkata dia bimbang bertemu suaminya kerana khuatir kejadian sebulan lalu berulang kembali.

“Saya bernikah dengan suami sejak berusia 14 tahun. Bagaimanapun, sikapnya berubah menyebabkan rumah tangga kami bergolak,” katanya yang mengemukakan tuntutan perceraian di mahkamah syariah minggu lalu.

Kes itu akan disebut semula Disember depan.

Pendapat Saya

Jantan Lelaki kelantan memang jenis muka yang tak tahu malu

Keganasan Emosi – Penderaan Buat Wanita

•June 29, 2009 • Leave a Comment

Seseorang suami yang memberitahu isterinya tidak lagi cantik bertuJuan memalukan si isteri boleh dikategorikan sebagai kesalahan keganasan
emosi sekiranya pindaan dibuat terhadap akta keganasan rumahtangga 1994. isu1

Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, ketika ini, golongan wanita hanya dilindungi daripada penderaan fi zikal di bawah akta tersebut.

Katanya lagi, tujuan cadangan pindaan itu adalah bagi memastikan keselamatan wanita dari segi fi zikal dan emosi. Keganasan emosi adalah satu bentuk penderaan yang memberi kesan mendalam terhadap wanita yang boleh merendahkan harga diri, maruah serta keyakinan diri. Islam sentiasa menyuruh umatnya berbuat kebaikan.

Ini termasuklah dalam perhubungan dan pergaulan suami dan isteri. Allah S.W.T di dalam al-Quran, fi rman yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bergaul baik dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang baik (al-Nisa’: 19).”

Selain itu, Nabi Muhammad S.A.W pernah berkata, sebaik-baik manusia di kalangan bani Adam ialah orang baik dengan isterinya, ini kerana isteri adalah lebih utama dijaga haknya sebelum orang lain. Setiap manusia yang dicipta oleh Allah S.W.T tiada yang sempurna. Oleh yang demikian, si suami seharusnya menutup keaiban yang ada pada diri isterinya. Allah S.W.T menjadikan manusia sering memerlukan antara satu sama yang lain.

Justeru, si suami tidak seharusnya mengaibkan isterinya hatta kepada saudara dan sahabat handainya. Ini kerana setiap keaiban yang ada pada isteri merupakan cermin bagi suami. Hakikatnya suami yang mengutuk atau memalukan si isteri secara tak langsung mengaibkan dirinya sendiri. Dalam hal ini suami harus bijak menangani sebarang masalah yang berlaku dan jangan hanya sekadar menunding jari menyalahkan pasangan.

Begitu juga si isteri harus tahu menjaga penampilan diri supaya sentiasa kelihatan cantik untuk suaminya. Dalam satu petikan artikel Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-Undang Keluarga Islam melalui siri wanita Anggun keluaran MW baru-baru ini ada berkata sekiranya muncul konfl ik dalam rumah tangga, hendaklah suami isteri mengambil langkah-langkah penyembuhan yang diajar melalui al-Quran dan Al-Sunnah Rasullah SAW supaya keretakan itu dapat disambung semula dengan izin dan reda Allah SWT.

– Mingguan Wanita

Suami Terima SMS Ajak Tidur!

•June 24, 2009 • Leave a Comment

KATA orang berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, begitulah sering diucapkan mereka yang menghadapi masalah rumah tangga.

Tidak kena pada hidung sendiri, maka kita tidak akan tahu, itu juga yang dilaungkan para isteri yang tercalar hati kerana sikap suami menduakan kasih.

Amy (bukan nama sebenar) berusia 25 tahun, baru dikurniakan seorang bayi berusia enam bulan hasil perkahwinan dengan lelaki yang dicintainya selama tujuh tahun semasa menuntut di universiti.

Berulang kali Amy menelefon saya untuk berbual tentang rumah tangganya, kebetulan panggilan ketiganya dapat saya layan. Hampir sejam kami berbual.

Banyak yang Amy luahkan dalam esak tangis dan ketawa yang menyimpan pelbagai kisah suka duka setelah baru setahun jagung bergelar isteri. Jodohnya dengan lelaki yang dipanggilnya Ari kini goyah gara-gara suami kaki perempuan. Beratus-ratus kali berjanji akan ubah perangai, sayangnya tidak menjadi. Itu juga yang berlaku.

Kelahiran bayi sulung juga tidak membawa banyak perubahan sebaliknya kata Amy dia yang terus makan hati. Di rumah perangai suami lain, di belakang pula lain.

Apa kata, kita kongsi masalah Amy seperti yang diluahkan kepada saya. Begini kisah Amy:

“Sebelum bernikah suami seorang kaki perempuan, tapi dia berjanji akan berubah setelah kami berkahwin. Saya memilih dia kerana dia memahami saya, penyayang dan mengambil berat. “Pelbagai dugaan saya lalui sebelum berkahwin dengannya. Kami berkenalan semasa menuntut di universiti. Masa hendak mendapatkan suami dulu saya terpaksa korbankan hati dan perasaan sebab perangai kasanovanya itu.

“Walaupun ramai yang ingin mendekati saya, tetapi hati saya kuat mengatakan dia jodoh saya. Setelah bercinta hampir tujuh tahun, akhirnya kami dinikahkan pada November 2007. “Saya sangka inilah pemberian terbaik Allah SWT untuk saya. Gembiranya hati saya hanya Allah saja yang tahu. Bukanlah saya tidak mensyukuri apa yang Allah kurniakan, saya benar-benar bersyukur.

“Tetapi sudah takdir saya begini. Lima bulan selepas bernikah, saya disahkan mengandung. Hati saya sangat gembira kerana doa saya untuk menimang anak secepat mungkin dikabulkan Yang Maha Esa. “Saya mengalami alahan teruk semasa mengandung. Suami menjaga saya dan kandungan dengan baik. Tidak nampak tanda-tanda dia mengabaikan saya.

“Namun dalam usia kandungan baru mencecah dua bulan saya mula menerima dugaan yang hebat. Suatu hari saya terbaca e-mel suami yang masih berhubung dengan rakan Internetnya, seorang jururawat yang mengajak suami saya tidur bersamanya!

“Bingung saya seketika sebab tidak percaya suami saya sanggup menerima dan mengirim mesej seperti itu. Hancur luluh hati saya saat itu. Saya menangis semahu-mahunya. Kami bergaduh besar. Saya adukan sikap suami kepada mertua. “Mujurlah saya mempunyai mertua yang sangat baik. Mertua membantu menyelesaikan kekusutan yang berlaku dan menyelamatkan perkahwinan kami.

“Masuk enam bulan kandungan, suami terpaksa keluar daerah kerana urusan kerja. Saya memberi sepenuh kepercayaan kepadanya walaupun berat rasa hati untuk melepaskan dia berjauhan dengan saya sebab saya tahu dia akan berubah sikap apabila di belakang saya. “Sepanjang berada jauh dari saya, setiap masa dia menghubungi saya. Namun pada waktu malam, khidmat pesanan ringkas (SMS ) dan telefon saya tidak berjawab.

“Kemusykilan mula timbul dalam hati. Apa yang sedang berlaku? Saya dapat rasakan yang dia melakukan perkara buruk di belakang saya. “Tekaan saya betul. Sebaik dia pulang, saya terjumpa rakaman hubungan seks suami dengan seorang wanita di dalam telefon bimbitnya.

“Ya Allah, amat berat dugaan yang Engkau berikan padaku. Hancur hati saya melihat suami sendiri menjamah wanita lain. Saya menangis dan meraung. “Di rumah kami bergaduh besar, saya menunjukkan telefon bimbit yang merakamkan aksi melampau itu. Dia buat-buat macam tidak bersalah dan cuba berbaik-baik dengan saya, sekali lagi kami hampir bercerai kerana saya tidak sabar lagi diperlakukan begitu.

“Demi memikirkan masa depan bayi yang bakal lahir kami berbaik semula. Disebabkan terlalu tertekan, saya telah bersalin lebih awal lima minggu. “Melihat sendiri saya melahirkan dan kesakitan yang dialami, menyebabkan suami berubah baik seketika dan lebih menghargai saya. Sepanjang berpantang di kampung dua bulan saya berjauhan dengan suami tetapi hujung minggu dia datang menjenguk kami dua beranak.

“Saya gembira kerana sangka suami telah bertaubat. Sebaik kembali ke rumah sehabis pantang, saya telah dikejutkan lagi dengan cerita baru. Rupa-rupanya suami ada lagi satu telefon bimbit lain yang disorok. “Setelah memeriksa, saya dapati semuanya nombor wanita dan SMS berunsur lucah. Sepanjang saya berpantang, rupanya, suami menjalin hubungan sulit dengan seorang jururawat.

“Saya berjaya menghubungi wanita tersebut dan menghentikan hubungan terlarang itu dan menghamburkan kata-kata kesat kepadanya kerana melayan suami saya. “Belum pun sebulan reda kes itu, saya mendapat khabar suami ada skandal dengan kerani baru di tempat kerjanya. Saya juga berjaya menghubungi wanita tersebut, tetapi dia enggan mengaku.

“Di depan saya dia menyatakan tiada apa-apa hubungan dan berjanji menjauhi suami saya. Tetapi rupanya semakin hari mereka semakin intim. “Keadaan rumah tangga kami semakin genting sebab kami selalu bergaduh. Dia nekad untuk bersama wanita itu walaupun terpaksa meninggalkan saya dan anak kami.

“Tiada pilihan, saya akhirnya reda dengan apa yang berlaku sebab tidak mahu anak tidak mendapat kasih sayang bapanya. Pada masa sama, suami terus rapat dengan wanita itu sebab mereka selalu berjumpa di pejabat. “Saya hilang daya untuk menangani masalah ini tetapi akan kuatkan semangat menanganinya. Nampaknya menyalahkan wanita lain juga tidak patut sebab kadang-kadang suami kita juga pandai cucuk jarum, kata orang bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi.

“Air mata saya mengalir laju saat membaca semua SMS yang suami terima. Betapa murahnya wanita sekarang, boleh tawar diri untuk ditiduri oleh suami orang. “Saya berdoa agar Allah SWT memberi kekuatan untuk saya menghadapi dugaan dan ujian hebat ini. Saya nekad, jika ditakdirkan jodoh saya sampai setakat ini, saya reda.

“Saya sanggup kehilangan suami yang tidak tahu menghargai isteri dan terus dijadikan barang mainan dalam rumah tangga. “Kadang-kadang saya terfikir, anak yang saya lahirkan akan lebih sempurna hidupnya jika tidak mempunyai bapa seperti suami saya. Dengan kerjaya yang saya miliki, saya mampu memberi segala kesenangan kepadanya. Cuma yang saya tak mampu beri adalah kasih sayang seorang bapa.

“Kepada kaum wanita yang suka mengganggu suami orang, tolonglah hormat hak kaum sejenis anda. Jangan guris hati dan perasaan orang kerana satu masa nanti hati anda bukan setakat terluka malah akan terkoyak kerana perbuatan anda sendiri,” Amy menutup cerita dengan kata-kata sinis.

Apa pun saya mengharapkan Amy akan terus tabah menjalani hidupnya bersama bayinya yang baru mengenal dunia serta berusaha menyelamatkan masjid yang dibina dengan kasih sayang dan rasa cinta. Mengundur diri, pesanan saya, hidup tidak boleh hanya bergantung kepada soal hati dan perasaan kerana ada masa ia boleh menjahanamkan diri sendiri sebaliknya, kita harus memikirkan bagaimana menerima atau membuat sesuatu dengan baik berlandaskan situasi yang dilalui. Salam

Ketagih Teman Siber

•June 23, 2009 • Leave a Comment

Harian Metro, 23/06/09,

 Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad, ahmadshahrul@hmetro.com.my

 

SHAH ALAM: Dia tidak pernah meninggalkan solat selain pandai mengaji al-Quran, namun memiliki perangai pelik iaitu gemar berbual lucah dan menggoda teman siber di laman sembang.

Apabila ditegur supaya menghentikan perbuatan itu, lelaki terbabit naik angin lalu membelasah isterinya hingga cedera sebelum melakukan seks ganas terhadapnya.

Kepala wanita itu turut dihantuk ke dinding, ditumbuk dan dipijak dalam bilik air menyebabkan mangsa tinggal nyawa-nyawa ikan.

Dia hanya menghentikan tindakan gila dan kejam itu selepas melihat darah mengalir di tubuh isterinya.

Kehidupan penuh penderitaan itu didedahkan mangsa yang juga seorang pegawai kanan kerajaan kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Dia yang mahu dikenali sebagai Julia, 30-an, turut menunjukkan lebih 10 laporan polis berkaitan tindakan ganas suaminya.

Menurut Julia, dia tidak menyangka suaminya yang alim dan pandai mengaji al-Quran gemar melayari laman sembang untuk menggoda dan berbual lucah dengan gadis sunti dan pelajar perempuan.

“Suami saya yang berusia 40-an mula menggatal ketika menjalinkan hubungan intim dengan teman siber yang kebanyakan gadis muda.

“Bukan itu saja, dia sering berbual melalui video secara langsung dengan gadis yang menjadi teman sibernya sambil menggunakan perkataan lucah dan menggoda bagi merangsangkan diri dan gadis terbabit,” katanya.

Katanya, dia pernah terserempak pelbagai perkataan dan gambar lucah digunakan suami yang mungkin untuk menaikkan keghairahan gadis siber yang menjadi temannya.

“Apabila saya dapat menghidu perbuatan suami, bermula derita saya yang dijadikan tempat untuk dibelasah sehingga berdarah dan lebam di beberapa bahagian badan.

“Paling terbaru, apabila berlaku sedikit perselisihan sebelum saya dibelasah dan dicekik sebelum dicampakkan di atas katil.

“Suami turut menekan tangan saya dengan lutut dan menggigit dagu hingga berdarah selain beberapa kali meludah muka saya,” katanya yang mempunyai tiga anak berusia tiga dan tujuh tahun.

Julia juga mendakwa pernah diugut dibakar mukanya menggunakan pemetik api oleh lelaki terbabit.

Malah, muka wanita itu pernah cedera akibat disambar api yang diacukan.

Sambil menitiskan air mata, wanita itu menyatakan dia sudah mengambil beberapa langkah bagi mempertahankan diri termasuk membuat 10 laporan polis bagi mengelak daripada terus menjadi belasahan suami.

Dia pernah membawa polis ke rumah selepas dibelasah hingga cedera, tetapi sebaik polis pulang, suaminya terus membelasah diri tanpa mampu mempertahankan diri.

“Saya cuba mendapatkan perlindungan untuk tinggal berasingan melalui proses undang-undang, tapi tidak diendahkan suami yang terus menerus membelasah saya dengan mencekik dan mengugut mahu mencederakan muka saya,” katanya yang mengakui suami sudah dikenakan tindakan undang-undang apabila ingkar arahan berkenaan.

Katanya, dia sudah melakukan sebaik mungkin sebagai isteri bagi mempertahankan usia perkahwinan yang sudah menjangkau lebih 10 tahun.

Menurutnya, dia tidak mempunyai pilihan selain mengemukakan tuntutan fasakh di mahkamah syariah dan berharap permohonan itu dapat disegerakan.

“Sebagai wanita yang sudah diperlakukan sebagai binatang, saya sudah tidak ada perasaan lagi terhadap lelaki terbabit.

“Apa yang mahu saya lakukan sekarang adalah keluar daripada kehidupan seperti haiwan itu dan dapat membesarkan anak dengan penuh kasih sayang,” katanya yang masih trauma walaupun suaminya itu sudah tinggal berasingan sekarang.

Bagaimanapun, Julia masih bimbang tindakan tidak menentu suami apabila mengetahui tuntutan di mahkamah syariah sudah dilakukan.