Suamiku Punya Hubungan Dengan Wanita Lain

Utusan Malaysia, 04/05/09

HAYATILAH kisah seorang peminat setia ruangan ini yang hanya mahu dikenali sebagai Rita, 28, (bukan nama sebenar). Seperti isteri lain, Rita juga mengimpikan perkahwinan yang membahagiakan, hidup rukun damai dan saling sayang menyayangi antara suami isteri terutama untuk mendapatkan zuriat. Sayangnya dalam menanti kehadiran anak yang bakal menyeri rumah tangga, suami pula beralih kasih. Ada sesetengah suami asyik menyalahkan isteri apabila mereka tidak mendapat zuriat tetapi mereka sendiri tidak berusaha mendapatkan pemeriksaan lanjut. Bukan Rita tidak boleh mengandung dan melahirkan anak. Pemeriksaan yang dia dan suami jalani membuktikan tidak ada masalah dengan mereka berdua, hanya rezeki yang belum ada.

Kepada saya, Rita meluahkan perasaan sedih dan kecewa dengan sikap suami yang sudah berlaku curang dalam perkahwinan mereka hanya kerana belum dikurniakan anak. “Saya sudah tiga tahun berkahwin dengan suami atas dasar cinta sama cinta dan direstui keluarga. Namun sehingga kini masih belum dikurniakan zuriat. Saya dan suami telah melakukan pemeriksaan kesihatan dan kami disahkan subur dan tidak ada masalah. “Hubungan saya dengan suami dan keluarganya amat baik, begitu juga sebaliknya. Malah kami tidak pernah menghadapi masalah sejak mendirikan rumah tangga. Keluarga suami belum pernah mengungkit soal kami tidak dapat zuriat sehingga ke hari ini walaupun saya faham mereka amat mengharapkannya.

“Suami seorang yang baik, penyayang dan pendiam. Dia menjadikan saya bahagia, selalu mengambil berat dan saya amat sayang kepadanya. “Malangnya pada November tahun lepas, saya mula tawar hati kepadanya setelah mendapat tahu dia ada membuat hubungan dengan wanita lain. “Semuanya terbongkar apabila saya secara tidak sengaja terbaca SMS yang dikirim oleh wanita itu kepada suami. “SMS yang berbunyi, “Sayang ada di sini, abang bila nak datang.?” Ia amat mengguris perasaan saya. Saya menjadi sedih yang amat sangat. Tapi saya bersabar. Tiga hari saya berfikir sama ada hendak bersemuka dengan suami atau tidak.

Akhirnya saya nekad. “Saya tanya baik-baik kepadanya tentang mesej tersebut dan siapa wanita berkenaan. Terkejut dia pada mulanya tetapi memberi alasan mesej itu tersalah hantar dan dia tidak kenal wanita itu. “Dia minta saya tidak memikirkan sangat mesej tersebut kerana katanya dia benar-benar tidak kenal wanita yang mengirim SMS itu. Kerana sayang dan percayakan suami, saya lupakan hal itu. SMS dengan wanita “Tidak sampai seminggu kemudian saya sekali lagi tergerak hati membelek telefonnya, kali ini saya amat terkejut kerana bukan setakat mesej wanita itu yang ada, suami saya juga berbalas-balas mesej dengannya. “Hampir 20 mesej sehari mereka berbalas-balas. Hati saya hancur berkecai apabila membaca kesemua mesej tersebut terasa sangat saya ditipu bulat-bulat oleh suami.

“Pada malam itu selesai solat Isyak saya sekali lagi nekad bersemuka dengan suami. Saya tanya baik-baik, kenapa masih ada mesej yang dikirim oleh perempuan itu. Kenapa dia membalas mesej tersebut dan berbohong? “Pada mulanya dia enggan mengaku, tetapi setelah saya mendesak dan mengugut akan meninggalkan rumah, dia akhirnya mengalah. “Jawapannya menghancurkan seluruh jiwa raga dan kesetiaan saya kepadanya selama ini. Bergegar jantung saya apabila dia mengaku ada hubungan dengan wanita itu sejak setahun setengah yang lalu. “Bayangkan, dalam usia perkahwinan kami yang masih mentah dia sanggup melukakan hati saya.

Paling saya kecewa apabila dia berkata, dia hanya bermain mesej dan tidak lebih daripada itu. Bolehkah saya percaya? “Saya luahkan perasaan kecewa saya dengan perbuatannya itu. Saya katakan kepada dia saya sedih sebab dia sanggup buat saya macam itu sedangkan saya terlalu kasih dan cinta kepadanya. “Saya bagi kata dua kepadanya sama ada pilih saya atau perempuan itu. Terkejut dia dengan ugutan saya. Berkali-kali dia minta maaf dan berjanji tidak akan buat hal lagi. Dia mengaku tersilap langkah. “Dia juga berjanji akan tinggalkan perempuan itu. Tapi masalahnya, hati saya sudah tercalar, saya sudah hilang kepercayaan kepadanya. Tapi saya bagi dia pilihan. Tukar nombor telefon, tinggalkan perempuan itu atau bebaskan saya.

“Akhirnya setelah berhari-hari duduk berbincang dan mencermin diri, kami mengambil kata putus akan membaiki diri masing-masing. Saya amat sayangkan suami dan akan terus setia dan cinta kepadanya sepanjang hayat. “Saya bagi tahu dia, ini peluang terakhir. Jika dia melakukan kesilapan yang sama, saya akan buat keputusan yang bakal menjadikan dia menyesal seumur hidup. “Seperti orang lain, saya ingin rumah tangga kami bahagia dan kekal sampai ke akhir hayat. Saya faham sebagai lelaki dan suami, mungkin dia terasa hati kerana tidak mendapat zuriat. “Boleh jadi juga cabaran kawan-kawan menjadi punca. Tapi saya tidak salahkan dia. Saya rasa kami masih boleh membaiki keadaan.

Saya akan terus mendapatkan rawatan dan berusaha mendapat zuriat. “Saya harap peluang yang saya bagi kepada suami akan digunakan dengan sebaik-baiknya untuk memantapkan hubungan kami agar terus bahagia. “Apa yang berlaku saya ambil sebagai iktibar. Mungkin ada hikmah yang kami tidak tahu. Saya berharap dan berdoa semoga saya diberikan zuriat dalam masa terdekat ini. Mudah-mudahan suami mengotakan janjinya untuk membaiki diri dan setia bersama saya,” kata Rita mengakhiri e-melnya. Aduhai, begitu setia Rita kepada suaminya, kalau suami tidak sedar dan insaf saya tidak tahu apa lagi nak komen. Sepatutnya suami Rita berterima kasih kerana Rita sanggup menerimanya semula.

Apa pun, banyak yang boleh kita pelajari daripada kisah Rita. Mengenai kesabaran dan ketabahannya menghadapi ujian rumah tangga. Sepatutnya dalam usia perkahwinan tiga tahun pasangan suami isteri masih dalam suasana berbulan madu, tetapi Rita diuji dengan begitu kuat lagi. Saya pasti Rita akan berjaya mengharungi dugaan tersebut. Kekuatan dan keberanian seseorang isteri berdepan dengan suami jarang dilakukan oleh isteri-isteri yang bermasalah. Syabas Rita teruskan keberanian anda untuk mempertahankan rumah tangga agar pulih seperti sedia kala.

Saya berdoa dan berharap hajat anda untuk mendapat zuriat akan dimakbulkan Allah SWT. Jangan putus asa dan teruskan menjalani rawatan dan pemeriksaan. Oh ya jika anda ingin menambah bahan bacaan buat isteri dan anak-anak di rumah, jangan lupa beli majalah WANITA keluaran Jun 2009, ada ruangan baru sentuhan saya di samping pelbagai rencana menarik yang eksklusif buat anda semua. Mengundur diri, sepatah kata untuk renungan bersama. Kebahagiaan seperti pokok mawar yang ditanam, berduri dan menyakitkan jika tersentuh. Biar tidak berbunga, ia pasti akan terus tumbuh. Salam

~ by Mila on June 16, 2009.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: