Lelaki Punca Utama

KUALA LUMPUR: “Boleh dikatakan sembilan daripada 10 punca perceraian datang daripada lelaki,” kata Pakar Motivasi dan Kaunseling, Klinik Hushim Motivation and Counselling Consultantsy, Hushim Salleh. Menurutnya, rumusan itu berdasarkan pengalamannya menerima pelbagai masalah rumah tangga daripada pasangan suami isteri setiap hari.

“Apabila saya katakan perkara ini dalam ceramah atau bengkel, tiada lelaki berani membangkang kerana ia kenyataan. Saya cakap berdasarkan fakta kerana setiap hari menerima pelbagai aduan masalah rumah tangga,” katanya. Hushim berkata, biasanya wanita berfikir panjang dan berusaha memelihara rumah tangga kerana mereka takut memegang gelaran ibu tunggal.

Katanya, jarang wanita meminta cerai jika suaminya baik. Biarpun suami bergaji kecil, isteri menerima keadaan itu seadanya kerana yang penting ialah suami setia dan bertanggungjawab. “Berapa ramai lelaki yang berpendapatan rendah mampu hidup bahagia bersama keluarga. Ini disebabkan kesetiaan dan komitmen yang suami berikan kepada keluarga.

“Lelaki seharusnya menjadi pemimpin dalam rumah tangga, memimpin solat jemaah dan membawa anak dan isteri mendengar ceramah di surau atau masjid. Antara kelemahan ibu bapa ialah tidak tegas. “Jika anak tidak mahu pergi ke sekolah kerana susah bangun pagi, tabiat itu dibiarkan berlarutan hingga dewasa.

Malah, sikap bapa yang malas bangun pagi menjadi ikutan anak,” katanya. Beliau berkata, dalam satu kes dikendalikannya, ada lelaki digelar suami RM3 kerana sering meminta jumlah berkenaan untuk keluar melepak bersama rakan di kedai kopi pada waktu malam. “Ini sungguh memalukan.

Akibat kegagalan suami menjalankan tanggung jawab sebagai ketua keluarga, isteri seperti menanggung biawak hidup dan tidak hairan perceraian berlaku,” katanya. Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kesuma (Bahagian Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zawiah Hassan, berkata salah faham dan berbeza pendapat adalah perkara biasa dalam kehidupan suami isteri, namun perceraian boleh dielak jika pasangan memahami tujuan sebenar perkahwinan.

“Dalam institusi rumah tangga, suami atau isteri mesti bersyukur kerana sudah berkahwin, ada pasangan dan dikurniakan cahaya mata berbanding mereka yang kurang bernasib baik. “Mereka juga mesti ada sifat sabar, penyayang, tolak ansur, pemaaf dan mengambil berat perkara remeh-temeh seperti memberi pujian, penghargaan dan ucapan terima kasih,” katanya.

Selain itu katanya, suami atau isteri perlu menerima pasangan seadanya, bukan selepas berkahwin mengambil keputusan bercerai. “Keadaan ini berlaku apabila isteri misalnya bergaji besar manakala suami sebaliknya, begitu juga dengan tahap pendidikan. Ada kes yang mana isteri doktor, suaminya kerani.

“Isteri tidak mahu menanggung beban keluarga kerana suaminya bergaji kecil, tetapi persoalannya mengapa sebelum kahwin dia boleh terima suami meskipun tahu kerjaya dan latar belakangnya,” katanya. Selain itu, kata Zawiah, tindakan terburu-buru pasangan yang mahu menyelesaikan masalah rumah tangga sebenarnya mengundang padah apabila keputusan diambil memburukkan lagi keadaan.

“Apabila berlaku masalah, mereka mahu ia selesai masa itu juga. Cara ini tidak betul kerana tidak semua masalah boleh diselesaikan dalam tempoh singkat. “Hakikatnya ada masalah perlukan masa untuk diselesaikan, sama ada berfikir, berbincang atau meminta pandangan orang lain,” katanya.

Misalnya, kata Zawiah, ada pasangan bergaduh pada lewat malam atau ketika suami pulang daripada kerja. Dalam suasana atau situasi yang tidak kena sebegitu, berlakunya cabar mencabar, apatah lagi ketika itu masing-masing penat dan kesuntukan masa kerana esoknya hendak bekerja.

“Ada juga kes pasangan dikejutkan daripada tidur hanya kerana suami atau isteri mahu membincangkan masalah dihadapi dengan segera tanpa mahu menunggu hari esok. Sikap ini perlu dielak apabila menghadapi kemelut dalam rumah tangga,” katanya.

~ by Mila on July 7, 2009.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: