Suami Hantu, Harian Metro 17/06/09

•June 17, 2009 • Leave a Comment

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my

 

KUANTAN: Angkara cemburu, seorang suri rumah berusia 32 tahun mendakwa diperlakukan seperti haiwan apabila kaki dan tangannya diikat sebelum badannya dibelasah suami sendiri, seorang peniaga kecil di rumah mereka di Bukit Setongkol di sini, Sabtu lalu.

Si suami dipercayai seorang yang cepat panas baran, sebelum itu membuat tuduhan melulu dengan mendakwa wanita berkenaan mempunyai hubungan sulit dengan bapa saudara lelaki terbabit.

Berikutan kejadian itu, mangsa cedera di seluruh badan selepas diseksa termasuk kepala dihentak ke dinding selain diugut bunuh lelaki berusia 41 tahun itu sepanjang dikurung tiga hari.

Difahamkan, kejadian itu berlaku apabila mangsa cuba mempertahankan diri dan menafikan melakukan hubungan sulit seperti didakwa, namun suaminya yang berang enggan mempercayainya sebelum menyeksa wanita berkenaan.

Mangsa diseksa selepas pakaiannya ditanggalkan sebelum dipukul dalam keadaan hanya memakai pakaian dalam. Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit kemudian mengarahkan anak lelakinya berusia 14 tahun yang juga anak tiri mangsa, mengambil tali untuk mengikat tangan dan kaki mangsa.

Dua lagi anak pasangan itu, masing-masing seorang lelaki berusia lima tahun dan perempuan berusia tiga tahun, hanya mampu menangis selepas diberi amaran supaya diam.

Bagaimanapun, mangsa berpeluang membebaskan diri apabila suaminya tidur dan membuka ikatan pada kakinya, kira-kira jam 4.30 pagi kelmarin.

Lebih menyedihkan lagi, mangsa terpaksa menggunakan ibu jari kaki untuk mendail talian kecemasan 999 bagi meminta bantuan sebelum menceritakan kejadian itu kepada pihak polis.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar, ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan yang tiba di rumah mangsa terpaksa memecahkan pintu rumah apabila lelaki terbabit enggan membukanya.

Katanya, polis menemui mangsa dalam keadaan lemah selain bengkak di muka serta luka pada pergelangan tangan sebelum menghantarnya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, polis menahan suami mangsa yang sedang bersembunyi dalam bilik dan hasil ujian air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis ganja.

Beliau berkata, polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana mengurung secara salah dan Seksyen 506 kanun sama kerana melakukan ugutan jenayah.

“Lelaki terbabit kini direman 14 hari di IPD Kuantan selain akan mengambil keterangan tiga anak mangsa bagi membantu siasatan lanjut.

“Suspek dipercayai dalam pengaruh dadah ketika melakukan perbuatan itu selain dilakukan kerana bermotifkan cemburu,” katanya.

Suamiku Punya Hubungan Dengan Wanita Lain

•June 16, 2009 • Leave a Comment

Utusan Malaysia, 04/05/09

HAYATILAH kisah seorang peminat setia ruangan ini yang hanya mahu dikenali sebagai Rita, 28, (bukan nama sebenar). Seperti isteri lain, Rita juga mengimpikan perkahwinan yang membahagiakan, hidup rukun damai dan saling sayang menyayangi antara suami isteri terutama untuk mendapatkan zuriat. Sayangnya dalam menanti kehadiran anak yang bakal menyeri rumah tangga, suami pula beralih kasih. Ada sesetengah suami asyik menyalahkan isteri apabila mereka tidak mendapat zuriat tetapi mereka sendiri tidak berusaha mendapatkan pemeriksaan lanjut. Bukan Rita tidak boleh mengandung dan melahirkan anak. Pemeriksaan yang dia dan suami jalani membuktikan tidak ada masalah dengan mereka berdua, hanya rezeki yang belum ada.

Kepada saya, Rita meluahkan perasaan sedih dan kecewa dengan sikap suami yang sudah berlaku curang dalam perkahwinan mereka hanya kerana belum dikurniakan anak. “Saya sudah tiga tahun berkahwin dengan suami atas dasar cinta sama cinta dan direstui keluarga. Namun sehingga kini masih belum dikurniakan zuriat. Saya dan suami telah melakukan pemeriksaan kesihatan dan kami disahkan subur dan tidak ada masalah. “Hubungan saya dengan suami dan keluarganya amat baik, begitu juga sebaliknya. Malah kami tidak pernah menghadapi masalah sejak mendirikan rumah tangga. Keluarga suami belum pernah mengungkit soal kami tidak dapat zuriat sehingga ke hari ini walaupun saya faham mereka amat mengharapkannya.

“Suami seorang yang baik, penyayang dan pendiam. Dia menjadikan saya bahagia, selalu mengambil berat dan saya amat sayang kepadanya. “Malangnya pada November tahun lepas, saya mula tawar hati kepadanya setelah mendapat tahu dia ada membuat hubungan dengan wanita lain. “Semuanya terbongkar apabila saya secara tidak sengaja terbaca SMS yang dikirim oleh wanita itu kepada suami. “SMS yang berbunyi, “Sayang ada di sini, abang bila nak datang.?” Ia amat mengguris perasaan saya. Saya menjadi sedih yang amat sangat. Tapi saya bersabar. Tiga hari saya berfikir sama ada hendak bersemuka dengan suami atau tidak.

Akhirnya saya nekad. “Saya tanya baik-baik kepadanya tentang mesej tersebut dan siapa wanita berkenaan. Terkejut dia pada mulanya tetapi memberi alasan mesej itu tersalah hantar dan dia tidak kenal wanita itu. “Dia minta saya tidak memikirkan sangat mesej tersebut kerana katanya dia benar-benar tidak kenal wanita yang mengirim SMS itu. Kerana sayang dan percayakan suami, saya lupakan hal itu. SMS dengan wanita “Tidak sampai seminggu kemudian saya sekali lagi tergerak hati membelek telefonnya, kali ini saya amat terkejut kerana bukan setakat mesej wanita itu yang ada, suami saya juga berbalas-balas mesej dengannya. “Hampir 20 mesej sehari mereka berbalas-balas. Hati saya hancur berkecai apabila membaca kesemua mesej tersebut terasa sangat saya ditipu bulat-bulat oleh suami.

“Pada malam itu selesai solat Isyak saya sekali lagi nekad bersemuka dengan suami. Saya tanya baik-baik, kenapa masih ada mesej yang dikirim oleh perempuan itu. Kenapa dia membalas mesej tersebut dan berbohong? “Pada mulanya dia enggan mengaku, tetapi setelah saya mendesak dan mengugut akan meninggalkan rumah, dia akhirnya mengalah. “Jawapannya menghancurkan seluruh jiwa raga dan kesetiaan saya kepadanya selama ini. Bergegar jantung saya apabila dia mengaku ada hubungan dengan wanita itu sejak setahun setengah yang lalu. “Bayangkan, dalam usia perkahwinan kami yang masih mentah dia sanggup melukakan hati saya.

Paling saya kecewa apabila dia berkata, dia hanya bermain mesej dan tidak lebih daripada itu. Bolehkah saya percaya? “Saya luahkan perasaan kecewa saya dengan perbuatannya itu. Saya katakan kepada dia saya sedih sebab dia sanggup buat saya macam itu sedangkan saya terlalu kasih dan cinta kepadanya. “Saya bagi kata dua kepadanya sama ada pilih saya atau perempuan itu. Terkejut dia dengan ugutan saya. Berkali-kali dia minta maaf dan berjanji tidak akan buat hal lagi. Dia mengaku tersilap langkah. “Dia juga berjanji akan tinggalkan perempuan itu. Tapi masalahnya, hati saya sudah tercalar, saya sudah hilang kepercayaan kepadanya. Tapi saya bagi dia pilihan. Tukar nombor telefon, tinggalkan perempuan itu atau bebaskan saya.

“Akhirnya setelah berhari-hari duduk berbincang dan mencermin diri, kami mengambil kata putus akan membaiki diri masing-masing. Saya amat sayangkan suami dan akan terus setia dan cinta kepadanya sepanjang hayat. “Saya bagi tahu dia, ini peluang terakhir. Jika dia melakukan kesilapan yang sama, saya akan buat keputusan yang bakal menjadikan dia menyesal seumur hidup. “Seperti orang lain, saya ingin rumah tangga kami bahagia dan kekal sampai ke akhir hayat. Saya faham sebagai lelaki dan suami, mungkin dia terasa hati kerana tidak mendapat zuriat. “Boleh jadi juga cabaran kawan-kawan menjadi punca. Tapi saya tidak salahkan dia. Saya rasa kami masih boleh membaiki keadaan.

Saya akan terus mendapatkan rawatan dan berusaha mendapat zuriat. “Saya harap peluang yang saya bagi kepada suami akan digunakan dengan sebaik-baiknya untuk memantapkan hubungan kami agar terus bahagia. “Apa yang berlaku saya ambil sebagai iktibar. Mungkin ada hikmah yang kami tidak tahu. Saya berharap dan berdoa semoga saya diberikan zuriat dalam masa terdekat ini. Mudah-mudahan suami mengotakan janjinya untuk membaiki diri dan setia bersama saya,” kata Rita mengakhiri e-melnya. Aduhai, begitu setia Rita kepada suaminya, kalau suami tidak sedar dan insaf saya tidak tahu apa lagi nak komen. Sepatutnya suami Rita berterima kasih kerana Rita sanggup menerimanya semula.

Apa pun, banyak yang boleh kita pelajari daripada kisah Rita. Mengenai kesabaran dan ketabahannya menghadapi ujian rumah tangga. Sepatutnya dalam usia perkahwinan tiga tahun pasangan suami isteri masih dalam suasana berbulan madu, tetapi Rita diuji dengan begitu kuat lagi. Saya pasti Rita akan berjaya mengharungi dugaan tersebut. Kekuatan dan keberanian seseorang isteri berdepan dengan suami jarang dilakukan oleh isteri-isteri yang bermasalah. Syabas Rita teruskan keberanian anda untuk mempertahankan rumah tangga agar pulih seperti sedia kala.

Saya berdoa dan berharap hajat anda untuk mendapat zuriat akan dimakbulkan Allah SWT. Jangan putus asa dan teruskan menjalani rawatan dan pemeriksaan. Oh ya jika anda ingin menambah bahan bacaan buat isteri dan anak-anak di rumah, jangan lupa beli majalah WANITA keluaran Jun 2009, ada ruangan baru sentuhan saya di samping pelbagai rencana menarik yang eksklusif buat anda semua. Mengundur diri, sepatah kata untuk renungan bersama. Kebahagiaan seperti pokok mawar yang ditanam, berduri dan menyakitkan jika tersentuh. Biar tidak berbunga, ia pasti akan terus tumbuh. Salam

Bercinta Dengan Bukan Islam

•June 16, 2009 • Leave a Comment

Utusan Malaysia, 08/06/09

Apakah hukumnya bercinta dengan orang berlainan agama. Adakah haram atau sebaliknya?

Jawapan:

Islam tidak menafikan perasaan cinta kerana ia adalah satu perasaan yang fitrah dalam kehidupan manusia. Hidup seseorang manusia sentiasa diliputi dengan cinta dan kasih sayang.

Islam mengakui adanya rasa cinta yang ada dalam diri manusia. Ketika seseorang memiliki rasa cinta, maka hal itu adalah anugerah Allah SWT: Dijadikan indah pada manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang, itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik. (ali-‘Imran: 14).

Namun, Islam sebagai al-Din memberi panduan lengkap bagi setiap lapangan hidup termasuklah dalam bab bercinta. Cinta itu harus diatur dengan sebaik-baiknya agar tidak salah dan tersasar daripada penerapannya yang sebenar.

Rasa cinta sebenarnya itu sewajarnya dipendam dalam hati, dan kelak baru diungkapkan setelah menjadi pasangan suami isteri yang sah menurut ajaran Islam.

Sebelum berlakunya akad nikah, Islam tidak membenarkan seorang wanita bercanda dengan lelaki yang bukan mahramnya untuk mengungkapkan perasaan cinta, baik secara langsung mahupun melalui komunikasi di telefon atau talian chatting.

Ini kerana pada hakikatnya ia bukan sebuah cinta, melainkan nafsu syahwat dan tarikan sepintas lalu sahaja. Sedangkan di luar dari ruang pernikahan, Islam tidak pernah membenarkan semua itu.

Firman Allah yang bermaksud: Dan janganlah kamu mendekati zina, (zina) itu sungguh suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk. (al-Israk: 32).

Prinsip asas dalam adab bercinta dalam Islam ialah berpasakkan keredaan Allah, mematuhi segala suruhan-suruhan-Nya dan tidak boleh mengikuti kehendak makhluk-Nya sehingga mengingkari perintah atau larangan-Nya.

Pertama, seseorang yang benar-benar ingin mengamalkan Islam dalam dirinya perlu membetulkan niat apabila bercinta. Bercinta kerana Allah SWT dengan tujuan menghalalkan perhubungan itu daripada segenap sudut melalui perkahwinan yang sah.

Menjalin hubungan cinta antara lelaki dan perempuan yang bukan Islam tidak dibenarkan (haram) kerana lebih banyak mendatangkan kemudaratan daripada manfaat.

Seseorang muslim atau muslimah itu perlu berhati-hati dalam persoalan hati. Apatah lagi apabila jalinan perasaan tersebut melibatkan seorang yang berlainan agama. Sebabnya, seseorang Muslim hanya dibenarkan berkahwin dengan Muslim sahaja.

Jika salah seorang daripada pasangan bukan Islam tidak memeluk Islam, hukumnya mereka mestilah berpisah dan tidak boleh mengikat tali perkahwinan. Ini kerana seorang hamba perempuan yang beriman itu adalah lebih baik daripada seorang wanita musyrik sekalipun kamu tertarik kepadanya. Dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman itu adalah lebih baik daripada seorang lelaki musyrik sekalipun kamu tertarik kepadanya.

Larangan ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 221 yang bermaksud: Dan janganlah kamu mengahwini wanita-wanita musyrik sehingga mereka beriman (memeluk agama Islam). Dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu adalah lebih baik daripada seorang wanita musyrik sekalipun kamu tertarik kepadanya. Dan janganlah kamu mengahwini lelaki musyrik sehingga dia beriman (memeluk agama Islam). Dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman itu adalah lebih baik daripada seorang lelaki musyrik sekalipun kamu tertarik kepadanya. Sesungguhnya mereka itu menyeru kepada neraka. Manakala Allah menyeru kepada syurga dan keampunan dengan izin-Nya.

Selain ayat al-Quran di atas, terdapat hadis-hadis yang menyatakan bahawa baginda SAW telah memberi peringatan yang sangat keras dalam hadis baginda mengenai azab yang disediakan oleh Allah SWT kepada hambanya kerana menyentuh wanita yang bukan mahramnya (tanpa ikatan perkahwinan yang sah.)

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Lebih baik ditembusi dengan jarum dari besi yang panas dari dubur sampai kepalanya daripada menyentuh wanita yang bukan mahramnya“. (riwayat Imam al-Tabrani dalam Mu’jam al-Kabir)

Curang Kerana Suami Tiada Duit

•June 16, 2009 • Leave a Comment

Utusan Malaysia, 10/05/09

SAYA Nur berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Saya sebenarnya dalam keadaan dilema dan susah hati dengan hidup saya sekarang. Untuk pengetahuan puan saya telah pun bercerai pada bulan Februari yang lalu dan saya hanya tinggal sebulan edah lagi. Masalah saya sekarang ialah saya dan bekas suami masih saling menyayangi dan merindui walaupun kami tidak mempunyai apa-apa hubungan. Kami selalu berbincang untuk rujuk kembali tetapi masalahnya suami saya sudah hilang pekerjaan kerana tertekan dengan penceraian kami dan dia kini hanya bekerja biasa di kampungnya.

Kami telah pun berkahwin lima tahun dan dikurniakan seorang cahaya mata. Sepanjang tempoh perkahwinan kami, bekas suami jarang memberikan nafkah zahir dan juga jarang sembahyang. Kami mempunyai hutang dan kini saya terpaksa tanggung semua hutang itu. Dia selalu tiada duit dan saya tidak tahu ke mana duit dia setiap bulan dan hidup kami selalu susah. Disebabkan keadaan kami, saya telah membuat hubungan dengan lelaki lain dan saya meminta cerai dengannya dan dia dengan hati yang sedih melepaskan saya dengan talak satu.

Akan tetapi dia selalu menghubungi saya minta rujuk kembali. Saya tahu saya berdosa besar kerana mempunyai hubungan dengan lelaki lain dan bekas suami dapat menghidu hubungan kami. Sekarang lelaki itu telah tinggalkan saya dan hidup saya terkapai-kapai keseorangan. Bekas suami memaafkan kesalahan saya dan bersetuju untuk rujuk kembali tetapi dia kini tiada pekerjaan tetap. Keluarga saya juga tidak membenarkan kami rujuk kembali kerana sikap bekas suami saya sebelum ini.

 Apa yang harus saya lakukan? Kami ingin memulakan hidup baru jauh dari keluarga. Tetapi saya takut jika bekas suami ingin mempermainkan saya dan tidak berubah sikap. Patutkah kami rujuk kembali tanpa pengetahuan keluarga saya kerana saya tahu keluarga tidak akan benarkan saya rujuk kembali. Tapi saya ingin menebus kesalahan saya dan ingin memulakan hidup baru bersama suami dan anak. Saya tahu bekas suami saya mempunyai perangai yang tidak elok dan pernah menyakiti hati keluarga saya tetapi perangai boleh diubah jika mahu. Keluarga saya tidak tahu akan cerita yang sebenarnya dan mereka hanya menyalahkan bekas suami dalam hal ini. Saya sangat menyayangi bekas suami dan ingin hidup bersamanya kembali. Keluarga mertua saya faham akan keadaan kami dan mahu kami rujuk kembali tetapi hidup berjauhan dari keluarga. Apa yang harus saya lakukan? Saya betul-betul susah hati sekarang ini. n Nur, Kota bharu, Kelantan.

JAWAPAN: Nur, Wanita perlu bangkit daripada permasalahan keluarga untuk membina jati diri agar berjaya menjadi wanita yang lebih kuat. Kebetulan hari ini merupakan sambutan hari ibu dan Nur boleh meraikan bersama anak tersayang. Komunikasi Nur dan anak boleh mengurangkan sedikit masalah yang sedang dihadapi. Pada peringkat awal, Nur seakan mengikut perasaan hingga melakukan hubungan dengan lelaki lain. Justeru itu, jika ingin membina semula hubungan ini, dasar keimanan dan ketakwaan seharusnya dipegang setiap pasangan dalam mengharungi pancaroba kehidupan.

Ini kerana iman dan takwa akan menerbitkan kesabaran yang tinggi terutama dalam menghadapi konflik rumah tangga dan tahap kesabaran juga secara langsung akan mempengaruhi emosi seseorang dalam membuat sesuatu keputusan pada saat kritikal. Selagi hati dan fikiran bersih, cetusan yang lahir juga menjurus kepada keadaan positif. Dengan cara ini, ia dapat membantu Nur membuat keputusan yang jelas sama ada ingin rujuk semula atau sebaliknya.

Keberkatan Bersedekah

•June 12, 2009 • Leave a Comment

Diceritakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Tarmizi dan Ahmad, seperti berikut :

Tatkala Allah Ta’ala menciptakan bumi, maka bumipun bergetar.
Lalu Allah menciptakan gunung dengan kekuatan yang telah diberikan kepadanya, ternyata bumipun terdiam.
Para malaikat kehairanan akan penciptaan gunung tersebut. Kemudian mereka bertanya “Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada gunung ?”

Allah menjawab, “Ada, iaitu besi” (kita mafhum bahawa gunung batupun boleh menjadi rata ketika dikorek dan diratakan oleh buldozer atau sejenisnya yang dibuat dari besi).
Para malaikat bertanya lagi “Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada besi ?”
Allah yang Maha Suci menjawab, “Ada, iaitu api” (besi walau sekeras manapun boleh menjadi cair dan hancur setelah dibakar api).

Para malaikat kembali bertanya “Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat daripada api?”
Allah yang Maha Agung menjawab, “Ada, iaitu air” (api membara sedasyat apapun niscaya akan padam
jika disiram air). Para malaikat pun bertanya kembali “Ya Rabbi, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih kuat
daripada air ?”

Allah yang Maha Tinggi dan Maha Sempurna menjawab, “Ada, iaitu angin” (air disamudera yang luas akan serta merta terangkat, bergulung-gulung dan menjelma menjadi gelombang raksasa yang dahsyat, tiada lain kerana kekuatan angin. Angin ternyata memiliki kekuatan yang teramat dahsyat).

Akhirnya para malaikatpun bertanya lagi “Ya Allah, adakah sesuatu dalam penciptaan-Mu yang lebih dahsyat dari itu
semua ?”
Allah yang Maha Gagah dan Maha Dahsyat kehebatannya menjawab, “Ada, iaitu amal anak Adam yang mengeluarkan sedekah dengan tangan kanannya sementara tangan kirinya tidak mengetahuinya”.
Ertinya, yang paling hebat, paling kuat dan paling dahsyat sebenarnya adalah orang yang bersedekah tetapi tetap mampu menguasai dirinya, sehingga sedekah yang dilakukannya bersih, tulus dan ikhlas tanpa ada unsur menunjuk-nunjuk ataupun supaya diketahui orang lain.

Berkaitan dengan ikhlas ini, RasulAllah SAW mengingatkan dalam pidatonya ketika beliau sampai di Madinah pada waktu hijrah dari Makkah : “Wahai segenap manusia ! Sesungguhnya amal itu tergantung kepada niat, dan seseorang akan mendapatkan (pahala) sesuai dengan apa yang diniatkannya” .

Oleh kerana itu hendaknya kita selalu mengiringi sedekah kita dengan niat yang ikhlas hanya kerana Allah semata, tanpa berasa ingin dipuji, dianggap dermawan, dihormati, dll yang dapat menjadikan sedekah kita menjadi sia-sia.

Ganjaran bersedekah

Rasulullah s.a.w menganjurkan kepada kita umatnya untuk memperbanyak sedekah, hal itu dimaksudkan agar rezeki yang Allah berikan kepada kita menjadi bertambah berkah. Allah memberikan jaminan kemudahan bagi orang yang berdekah, ganjaran yang berlipatganda (700 kali) dan sebagai ganti, sebagaimana firman-Nya dan sabda RasuluAllah SAW, sbb :

Allah Ta’ala berfirman, “Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertaqwa dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga) maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah”.. {Qs. Al Lail (92) : 5-8}

Allah Ta’ala berfirman, “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui”. {Qs. Al Baqarah (2) : 261}

RasulAllah SAW bersabda, “Setiap awal pagi, semasa terbit matahari, ada dua malaikat menyeru kepada manusia dibumi. Yang satu menyeru, “Ya Tuhan, karuniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kepada Allah”. Yang satu lagi menyeru “musnahkanlah orang yang menahan hartanya”.

Tolak Bala dengan Sedekah

Orang-orang yang beriman sangat sedar dengan kekuatan sedekah untuk menolak bala, kesulitan dan berbagai macam penyakit, sebagaimana sabda RasulAllah SAW, sbb :
Z “Bersegeralah bersedekah, sebab yang namanya bala tidak pernah mendahului sedekah”.
Z “Belilah semua kesulitanmu dengan sedekah”.
Z “Ubatilah penyakitmu dengan sedekah”.

Banyak dari kita yang sudah mengetahui dan memahami perihal anjuran bersedekah ini, namun persoalannya seringkali kita teramat susah untuk melakukannya kerana kekhuatiran bahawa kita salah memberi, sebagai contoh kadang kala kita enggan memberi sedekah kepada pengemis yang kita temui ditepi jalan dengan anggapan bahawa mereka (pengemis/peminta tsb) menjadikan meminta-minta sebagai pekerjaannya, malas, dll.

Padahal sesungguhnya prasangka kita yang demikian adalah bisikan-bisikan syaitan laknatullah yang tidak rela melihat kita berbuat baik (bersedekah) , sebaiknya mulai saat ini hendaknya kita hilangkan prasangka-prasangka yang demikian kerana seharusnya sedekah itu kita niatkan sebagai bukti keimanan kita atas perintah Allah dan rasul-Nya yang menganjurkan umatnya untuk selalu bersedekah.

Masalah mungkin timbul apabila ternyata kemudiannya bahawa sedekah yang kita beri kepada pengemis/peminta tadi tidak tepat sasaran, bukan lagi urusan kita, kerana sedekah hakikatnya adalah ladang amal bagi hamba-hamba Allah yang bertakwa. Pengemis/peminta/ fakir miskin lainnya adalah ladang amal bagi orang yang berkemampuan, dapat kita bayangkan andaikata tidak ada lagi orang-orang tersebut, kepada siapa lagi kita dapat beramal (bersedekah) ???

Walaubagaimanapun dalam dunia yang semakin gawat dan gayat ini pemberian sedekah.
Atau kalau kita termasuk orang yang tidak suka memberi sedekah (kepada pengemis/peminta/ fakir miskin) dengan berbagai alasan dan pertimbangan maka biasakanlah bersedekah dengan menyiapkan sejumlah wang sebelum sholat Jum’at dan memasukkan ke kotak-kotak sumbangan yang tersedia dan biasakan dengan memberi sejumlah minima setiap Jum’at, misalnya Jum’at ini kita menyumbang RM5 kekotak amal tersebut maka sebaiknya Jum’at berikutnya harus dengan jumlah yang sama, syukur jika boleh diberi lebih dan yang terpentingnya harus diiringi dengan keikhlasan.

Sedekah anda, walaupun kecil tetapi amat berharga disisi Allah Azza Wa Jalla. Orang yang bakhil dan kikir dengan tidak menyedekahkan sebahagian hartanya akan rugi di dunia dan akhirat kerana tidak mendapat keberkatan. Jadi, sebenarnya orang yang bersedekah adalah untuk kepentingan dirinya. Sebab menginfakkan (belanjakan) harta akan memperoleh berkah dan sebaliknya menahannya adalah celaka. Tidak menghairankan jika orang yang bersedekah diibaratkan orang yang melabur (invest) dan menabung disisi Allah dengan jalan meminjamkan pemberiannya kepada Allah. Balasan yang akan diperolehnya berlipatganda. Mereka tidak akan rugi meskipun pada awalnya mereka kehilangan sesuatu.

Sedekah yg pahalanya terus mengalir

Dari Abu Hurairah RA, bahwa sesungguhnya Rasulullah SAW, telah bersabda : “Bila seorang hamba telah meninggal, segala amalnya terputus, kecuali tiga hal : amal jariyah, ilmu yang bermanfaat atau anak shalih yang mendo’akannya” (HR. Bukhari, dalam Adabul Mufrad).

Berikut contoh konkrit, sadaqah (amal) jariah, yang pahalanya terus mengalir walaupun si pemberi sadaqah telah meninggal :

SADAQAH JARIAH –
KEBAIKAN YANG TAK BERAKHIR
AL SADAQAT AL JARIYAH –
THE ACTIONS WHICH OUTLIVES YOU !

1. Berikan Al-Quran pada seseorang, setiap saat Al-Quran tersebut dibaca, anda mendapatkan kebaikan.
Give Quran to someone and each time they read from it, you will gain hasanaat.

2. Ajarkan seseorang sebuah do’a. Pada setiap bacaan do’a itu, anda mendapatkan kebaikan.
Teach someone to recite a dua.. With each recitation, you will gain hasanaat.

3. Sumbangkan kerusi roda ke Hospital dan setiap orang sakit menggunakannya, anda mendapatkan kebaikan.
Donate a wheel chair to a hospital and each time a sick person uses it, you will gain hasanaat.

4. Tanam sebuah pohon. Setiap seseorang atau hewan berlindung dibawahnya atau makan buahnya, anda dapat kebaikan.
Plant a tree. Each time any person or an animal sits under its shade or eats from the tree, you will gain hasanaat.

5. Tempatkan pendingin air di tempat awam.
Place a water cooler in a public place.

6. Edarkan bacaan yang membangun dengan seseorang.
Share constructive reading material with someone.

7. Libatkan diri dalam pembangunan masjid.
Participate in the building of a mosque.

8. Edarkan CD Quran atau Do’a.
Share a dua or Quran CD.

9. Bantulah pendidikan seorang anak.
Help in educating a child.

10. Edarkan pengetahuan ini dengan orang lain. Jika seseorang menjalankan salah satu dari hal diatas, anda dapat kebaikan sampai hari Qiamat.
Share this with someone. If one person applies any of the above you will receive your hasanaat until the Day of Judgment.

Wajib Bergaul Baik Dengan Isteri

•June 12, 2009 • Leave a Comment

Adakah dikira sudah menunaikan tanggungjawab kalau suami hanya memberikan wang kepada isterinya sedangkan tidak bergaul dengan baik dan tiada kemesraan dan asyik mencari kesalahan dan keburukan isteri semata-mata?

Jawapan:

Islam sentiasa menyuruh umatnya berbuat kebaikan. Ini termasuklah dalam perhubungan dan pergaulan suami dan isteri.

Maksud bergaul baik dalam syariah Islam adalah diambil daripada perintah Allah SWT di dalam al-Quran, firman yang bermaksud: … dan hendaklah kamu bergaul baik dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang baik…(al-Nisa’: 19).

Al-Quran melalui perintah mahukan setiap suami bergaul baik dengan isteri-isteri mereka dengan cara yang baik atau makruf.

Di dalam meneladani kehendak ayat ini ahli tafsir mengemukakan beberapa pandangan melalui pengamatan masing-masing.

l Di antara mereka ialah Ibn Kathir. Beliau berpendapat bahawa ayat ini, “… dan hendaklah kamu bergaul baik dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang baik…” bermaksud: para suami hendaklah memperelokkan bicara mereka bersama isteri, hendaklah memperelokkan tingkah laku kepada mereka serta menjaga penampilan yang baik mengikut kemampuan kamu seperti mana yang kamu harapkan daripada mereka iaitu isteri-isteri kamu, maka hendaklah kamu melakukan yang baik-baik itu terhadap mereka seperti yang kamu mahukan daripada mereka. (Ibn Kathir, jld:1, hlm: 466).

~ Al-Zamakhsyariy dan Fakhruddin al-Raziy berpendapat: “bermalam dengan isteri (memenuhi hak-hak batin bagi si isteri) melangsaikan nafkah dan bercakap baik dengan mereka”. (al-Zamakhsyariy, jld:1,hlm:490, Fakhruddin al-Raziy, jld:10,hlm:12).

~ Al-Jashsas dalam tafsirnya berpendapat: “Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan para suami supaya bergaul baik dengan isteri-isteri mereka dengan baik, perkara yang baik itu ialah menunaikan hak-hak seorang isteri dengan membayar mas kahwinnya serta nafkah dan pemberian antara isteri-isteri (jika lebih dari seorang), juga tidak menyakiti isteri dengan bahasa yang kesat dan kasar serta ditegah dari memalingkan wajah dari si isteri”. (al-jashsas, Ahkam al-Quran, jld: 2, hlm: 109).

~Tafsir Muhammad Rasyid Reda menarik dalam huraian ayat ini, beliau menjelaskan bahawa: “Wajib ke atas kamu wahai orang-orang yang beriman supaya berbuat baik dengan isteri-isteri kamu dalam pergaulan, dengan menjadikan persahabatan kamu serta pergaulan kamu dengan mereka dengan cara yang baik sesuai dengan dengan tabiat mereka sebagai wanita.

“Pergaulan itu mestilah yang tidak ditegah oleh syarak dan adat dan tidak bertentangan dengan maruah seseorang. Adapun menyempitkan pemberian nafkah (bersikap kedekut/ berkira dalam nafkah) serta menyakiti mereka dengan perkataan dan perbuatan, semua itu adalah bertentangan dengan bergaul baik dengan isteri dan bertentangan dengan al-Quran.

“Sesungguhnya setiap seorang dari pasangan suami isteri ialah membawa kegembiraan dan kebahagiaan”. (Muhammad Rasyid Reda, Tafsir al-Manar, jld:4,hlm:456).

Maka jelas lagi terang bahawa hukum bergaul baik dengan isteri adalah wajib. Bagi suami yang gagal menggauli isterinya dengan baik sedangkan dia taat kepada suaminya adalah berdosa.

Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Lelaki yang paling sempurna imannya ialah lelaki yang paling sempurna akhlaknya, dan sebaik-baik kamu (baik akhlak) ialah mereka yang baik dengan isteri-isterinya”. (riwayat al-Tarmidzi, Tuhfatu al-Ahwaziy, jld:4,hlm:326 ).

Dalam hadis yang lain daripada ibn Abbas r.a baginda bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu ialah mereka yang baik dengan isterinya, dan aku adalah orang paling baik dengan isteri-isteriku”. (riwayat al-Tarmidzi, Tuhfatu al-Ahwaziy, jld:4,hlm:325).

Di dalam kedua-dua hadis di atas baginda SAW menegaskan bahawa sebaik-baik manusia di kalangan bani Adam ialah orang baik dengan isterinya, ini kerana isteri adalah lebih utama dijaga haknya sebelum orang lain.

Berperangai buruk

Jika seorang suami dengan isterinya baik maka dia juga baik dengan orang lain, dan sekiranya dia berperangai buruk dengan isterinya maka dia juga akan bersikap hodoh dengan orang lain.

Di antara perkara yang dapat membantu suami menjadi baik dengan isterinya mesti memiliki kemahiran-kemahiran berikut.

Pertama: Mengenal tabiat wanita; ini kerana Allah SWT menjadi Adam dan hawa dengan tabiat fizikal yang berbeza. Berbeza dari sudut perasaan dan emosinya. Orang lelaki tabiatnya kasar, orang perempuan tabiatnya lembut.

Baginda SAW telah banyak berpesan kepada kaum lelaki supaya berlemah-lembut dan berhemah dalam mendidik dan menjaga mereka.

Kedua, mengenang kebaikannya. Kalau diadili dengan penuh kewarasan setiap orang suami akan mendapati insan yang paling banyak berkorban untuk suami ialah isteri.

Walaupun isteri mempunyai kesilapan dan kesalahan itu kerana emosinya dan hormonnya yang kadang-kadang tidak stabil, ini tidak memberi gambaran keseluruhan tabiat isteri.

Saya yakin bahawa isteri banyak sumbangannya kepada suami oleh itu fikir-fikirkan ketika mereka melakukan kesalahan atau kesilapan.

Sesungguhnya manusia tidak ada yang sempurna dan tidak ada yang tidak melakukan kesilapan. Tutuplah kesalahannya dengan kebaikannya.

Ketiga, menutup keaibannya; tiada yang sempurna. Allah SWT menjadikan manusia sering memerlukan antara satu sama yang lain.

Mengaibkan

Jangan diaibkan isteri kepada sesiapa pun, walaupun kepada saudara dan sahabat handainya. Keaiban isteri juga cermin bagi suami, apabila suami mengaibkan isteri maksudnya dia mengaibkan dirinya sendiri.

Keempat, kemungkinan kebaikan ada pada isteri yang dibencinya; jangan dibenci atau dicaci mungkin isteri yang dibenci oleh si suami itu ada kebaikan padanya, yang lambat laun pasti akan zahir.

Kelima, mengenal kedudukan isteri di rumah. Dalam banyak keadaan si isteri tinggal di rumah, adakalanya selepas berumahtangga ada di kalangan isteri yang tiada lagi baginya kehidupan bersosial, kerana suami dan anak-anaklah segala-galanya.

Berlaku adillah kepada isteri-isteri yang berada di bawah jagaan anda supaya amanah Allah SWT tidak terabai.

Azab Mangsa Culik, Harian Metro 11/06/09

•June 12, 2009 • Leave a Comment

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Lima lelaki bernafsu syaitan seolah-olah dirasuk apabila sanggup menjadi tanah perkuburan di pinggir ibu kota sebagai ‘hotel lima bintang’ untuk melampiaskan nafsu serakah mereka selepas menculik seorang gadis.

Kumpulan penjenayah terbabit dikesan bukan sekali melakukan kerja jahat itu di atas kubur, malah sudah mengulanginya beberapa kali sebelum ini.

Lebih menghairankan apabila kumpulan terbabit lebih terangsang untuk merogol mangsa mereka di atas kubur biarpun menyedari ia kawasan pengebumian jasad manusia yang sudah meninggal dunia dan dikaitkan dengan roh baik dan jahat.

Malah, kekejaman kumpulan itu terbukti apabila mereka merogol seorang gadis berusia 20-an secara bergilir-gilir selepas mengikat tangan dan kaki mangsa pada batu nisan. Dua daripada perogol itu memegang mangsa yang meronta kesakitan ketika seorang lagi rakan mereka merogol wanita berkenaan

Dalam kejadian jam 3 pagi kelmarin, seorang wanita yang diculik ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pandan Indah di sini, menjadi mangsa nafsu buas dan aneh kumpulan penjenayah terbabit.

Mangsa yang hanya kira-kira 10 meter dari rumahnya dihalang oleh sebuah Proton Wira sebelum seorang daripada lima lelaki dalam kenderaan berkenaan menariknya memasuki kereta itu.

Difahamkan, suspek mengugut untuk mencederakan mangsa sekiranya dia menjerit atau melawan.

Mangsa yang bimbang keselamatannya terancam, terpaksa mendiamkan diri dan patuh kepada arahan kumpulan terbabit.

Bagaimanapun, nasib malang wanita itu berterusan apabila dia dicabul berulang kali oleh empat suspek dalam kenderaan sebelum penjenayah terbabit memberhentikan kenderaan di Tanah Perkuburan Islam Taman Midah, Cheras, di sini.

Sumber berkata, setiba di lokasi berkenaan, mangsa dipaksa mengekori mereka ke kawasan perkuburan sebelum kumpulan terbabit merogol wanita berkenaan berulang kali.

“Setahu saya, mereka mengikat kaki dan tangan mangsa menggunakan tali pada batu nisan sambil dipegang dua lagi penjenayah. Tindakan itu dilakukan bagi memudahkan mereka merogol mangsa yang meronta kesakitan,” katanya.

Sumber itu berkata, wanita terbabit yang diculik kumpulan terbabit diperlakukan bagai hamba seks selama lebih satu jam.

“Selepas ‘misi’ selesai, kumpulan terbabit menghantar mangsa ke kawasan Taman Muda, Ampang, sebelum mengugut akan mencederakannya jika membocorkan kejadian berkenaan kepada sesiapa.

“Malah, kad pengenalan mangsa juga dirampas kumpulan itu sebagai bukti untuk mencarinya semula jika dia melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa,” katanya.

Difahamkan, mangsa terpaksa berjalan kira-kira satu kilometer untuk pulang ke rumahnya sebelum menceritakan peristiwa hitam itu kepada ahli keluarganya.

Mangsa dibawa keluarganya ke Balai Polis Pandan Indah di sini, untuk membuat laporan kejadian berkenaan.

Difahamkan, mangsa turut meminta perlindungan daripada pihak berkuasa kerana bimbang dicederakan kumpulan penjenayah terbabit.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin, ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan, tetapi enggan mengulas lanjut kerana siasatan sedang dijalankan.

Pengakuan Mangsa Perceraian Pada Usia Muda

•June 12, 2009 • Leave a Comment

Kes 1: Berpunca orang ketiga

Kakitangan kerajaan di sebuah universiti terkemuka, Linda (bukan nama sebenar) merasai derita berumah tangga apabila diceraikan pada usia 27 tahun hanya selepas tiga tahun berkahwin.

Keretakan rumah tangga mereka berpunca daripada orang ketiga iaitu rakan sekerja suaminya dan bibit cinta bermula usik-mengusik, selain kerap menghabiskan masa bersama.

“Bermula secara suka-suka langsung hati terpaut. Lelaki suka bergurau, silapnya wanita mudah perasan dan percaya. Usikan yang mulanya bertujuan mengeratkan persahabatan bertukar menjadi hubungan cinta,” katanya.

Perkahwinan pada usia 25 tahun pada 2001 itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan. Selepas berpisah, Linda menuntut hak penjagaan kerana ingin menumpahkan sepenuhnya kasih sayang terhadap anaknya itu.

“Lagipun, ini satu-satunya zuriat dan buah cinta kami. Bagi saya, kasih ibu, cinta sejati dan tidak ada sesiapapun yang dapat menandinginya,” katanya.

Kecurangan suami dihidu apabila dia lebih suka menghabiskan masa di pejabat berbanding di rumah. Kedatangan wanita tidak dikenali di tempat kerja dan mendesaknya bercerai dengan suami mengukuhkan firasat bahawa suaminya bermain kayu tiga. Hatinya lebih hancur apabila suaminya mengaku menjalinkan hubungan terlarang dengan wanita itu.

“Oleh kerana sayang dan fikirkan anak, saya sanggup bermadu. Namun, suami berat hati kerana kekasihnya itu mengenakan syarat iaitu jika ingin kekalkan perkahwinan, tinggalkannya,” katanya sebelum berusaha mengajak suami bertemu kaunselor bagi mencari penyelesaian terhadap kemelut rumah tangga mereka.

Malangnya, selepas dua sesi kaunseling, suami enggan memberi kerjasama. Bermula detik itu, Linda faham suaminya tidak berminat meneruskan ikatan perkahwinan mereka.

Mengimbau semula perkahwinan singkatnya, Linda mengaku serik dan lebih berhati-hati menjalinkan persahabatan dengan lelaki. Baginya, status ibu tunggal bukan halangan untuk bahagia tetapi kebajikan dan keselesaan anak menjadi keutamaan.

“Biarpun hampir tujuh tahun bercerai, saya masih trauma untuk berkahwin,” katanya yang bersetuju faktor usia turut menyumbang kepada kemusnahan institusi keluarga.

“Sungguhpun usia 25 tahun dikatakan peringkat umur paling sesuai mengakhiri zaman bujang namun perlu ingat, ketika itu juga kerjaya baru hendak bertapak. Kesibukan kerja juga penyebab hubungan dingin kerana tidak ada masa berkongsi cerita, selain jarang bertemu muka,”

“Faktor kerja luar dan lebih masa juga sering dijadikan alasan tidak pulang ke rumah. Di sinilah silap saya kerana terlalu percayakan kata-kata suami. Saya fikir dia banyak kerja, rupa-rupanya dia main cinta dengan rakan sepejabat,”ujarnya.

Kes 2: Terlalu berusaha sehingga hipokrit

HUSAIRI Husin, seorang guru, tidak menyangka usia perkahwinan lebih singkat daripada tempoh bercinta. Rumah tangga dibina hanya bertahan dua tahun berbanding 14 tahun melayari alam percintaan.

Setahun selepas melamar, Husairi dan pasangannya diijabkabulkan ketika masing-masing berusia pertengahan 20-an. Kedua-duanya berazam melakukan yang terbaik untuk rumah tangga tanpa sedar kesungguhan membahagiakan hati masing-masing akhirnya meleburkan perkahwinan.

“Saya dan isteri terlalu berusaha hingga akhirnya terpaksa menjadi hipokrit. Oleh kerana ingin dilihat sempurna, kami menyembunyikan masalah serta kelemahan peribadi. Apabila mula tidak berkongsi cerita, rumah tangga menjadi dingin, sekali gus hilang punca,” katanya yang membujang kembali ketika umur belum pun mencecah 30 tahun.

Bagi Husairi, cabaran utama berkahwin muda ialah menyesuaikan diri daripada kehidupan solo kepada komitmen perkahwinan. Dalam usaha mengenali dan saling berkongsi itu, karektor serta kelemahan yang sebelumnya cuba disorok mula menjelma.

“Ketika ingin membiasakan diri, timbul perangai yang tidak disenangi, namun masing-masing enggan berterus-terang. Itu sebabnya, sekecil-kecil masalah pun boleh mencetuskan pertengkaran, misalnya berbalah memilih saluran televisyen, tidak sependapat mengenai restoran pilihan untuk makan malam, malah waktu serta tempat tidur pun menjadi isu,” katanya.

Keadaan bertambah buruk apabila pasangannya yang berkerjaya tetap, memiliki segala-galanya, daripada rumah, kereta dan simpanan sendiri. Faktor ini dianggap Husairi mempengaruhi gaya hidup berdikari, melenyapkan perasaan hormat isteri terhadap suami sekali gus menjarakkan lagi kemesraan di antara mereka.

“Disebabkan isteri ada segalanya, dia enggan mengikut dan mendengar kata suami. Saya pernah mempelawanya tinggal bersama, namun dia menolak kerana ada rumah dan boleh hidup sendiri,” katanya.

Oleh kerana masih mahu memperbaiki hubungan suami isteri, dia dan isteri mendapatkan khidmat kaunseling, namun tidak berjaya kerana isterinya sudah terlalu lama memendam perasaan.

“Kami ambil keputusan berpisah kerana tidak mahu membazirkan usia muda dengan perkahwinan yang tidak bahagia,” katanya yang belum bersedia mencari pengganti.

Ditanya mengenai kesilapan yang tidak mungkin diulang andai satu hari nanti bertemu jodoh lagi, Husairi berazam tidak memendam rasa, berusaha memahami hati pasangan, berkongsi kehendak dan keperluan, selain paling mustahak, menerima kelebihan serta kekurangan pasangan seadanya.

Tikam Isteri, Harian Metro 12/06/09

•June 12, 2009 • Leave a Comment

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my

KLANG: “Saya tak mampu buat apa-apa kerana takut…Hanya sempat lihat isterinya ditarik suami sebelum ditikam,” kata Nur Fateeha Abdul Wahid, 19, menceritakan kejadian seorang suri rumah dibunuh dipercayai suaminya di Lorong Seri Damak 15, Taman Sri Andalas di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.40 pagi, ibu lima anak, S Lecheme, 47, mati kira-kira 20 meter dari rumahnya akibat ditikam lima kali selain lehernya turut dikelar.

Difahamkan sebelum kejadian, berlaku pertengkaran di dalam rumah terbabit sebelum mangsa lari keluar mengikut pintu belakang dalam keadaan berlumuran darah sambil dikejar suaminya manakala dua anak perempuan pasangan berkenaan berusia 23 dan 14 tahun mengekori dari belakang cuba mententeramkan bapanya.

Nur Fateeha berkata, dia sempat melihat mangsa menjerit meminta tolong dalam bahasa Tamil, tetapi suaminya yang memegang sebilah pisau sempat menangkapnya dan cuba mengheretnya masuk ke dalam rumah.

 Klang: Tikam Isteri
Menyayat hati……..

“Ketika dalam keadaan kelam-kabut, mangsa terjatuh sebelum ditikam suaminya di leher dan badan.

“Dia kemudian lari masuk ke dalam rumah diekori dua anaknya yang cuba mententeramkan bapanya, namun mereka kembali semula mendapatkan ibunya yang sudah tidak bernyawa,” katanya mendakwa ketika kejadian dia bersama tiga lagi adiknya sedang bersarapan.

Katanya, mangsa ketika itu memakai baju T-shirt biru dan seluar trek gelap dipenuhi darah.

“Kejadian berlaku begitu pantas dan saya serta adik-adik hanya mampu menjadi penonton manakala pintu jeriji dikunci rapat kerana takut berikutan lelaki itu memegang pisau.

“Saya kemudian telefon ibu sebelum dia menghubungi polis,” katanya.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata suspek yang juga suami si mati ditahan di kawasan Jalan Sungai Jati, Taman Sentosa, dekat sini jam 3.55 petang oleh sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang.

“Ketika ditahan dia sedang memandu Proton Tiara putih berseorangan manakala tiga anak berusia 10, 11, dan 13 tahun yang dibawa sejurus kejadian ditinggalkan di rumah rakannya di taman perumahan itu.

“Polis percaya dengan tertangkapnya suspek dapat membantu siasatan berhubung pembunuhan ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Ketiga-tiga anak pasangan terbabit tidak cedera.

Mohamad berkata, motif kejadian masih dalam siasatan bagaimanapun, pihaknya tidak menolak ia berpunca daripada perselisihan faham yang membawa kepada pembunuhan.

“Siasatan juga mendapati mangsa mempunyai masalah mental dan tidak bekerja,” katanya.

Pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu ditemui di depan pintu rumah terbabit.

Siasatan polis mendapati mangsa ditikam di perut, dada dan tangan manakala lehernya terdapat kesan kelar.

Dua anak pasangan terbabit cedera di tangan dan badan ketika cuba meleraikan pergaduhan itu dan mereka dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan.

Sepasukan polis daripada unit Forensik turut dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mengumpul bukti berhubung pembunuhan itu dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.